Kementerian Kewangan rangka belanjawan holistik berkaitan bencana

Bencana alam khususnya banjir yang melanda negara sebelum ini akan menjadi panduan Kementerian Kewangan dalam merangka belanjawan yang lebih holistik. - Foto fail Bernama
Bencana alam khususnya banjir yang melanda negara sebelum ini akan menjadi panduan Kementerian Kewangan dalam merangka belanjawan yang lebih holistik. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUANTAN - Bencana alam khususnya banjir yang melanda negara sebelum ini akan menjadi panduan Kementerian Kewangan dalam merangka belanjawan yang lebih holistik, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata justeru, menerusi sesi libat urus antaranya dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat membantu kementerian itu dalam merancang peruntukan yang lebih baik misalnya melibatkan perolehan aset dan infrastruktur.

"Pasukan bomba antara agensi pertama yang akan tiba di tempat kejadian dan mereka mempunyai input yang tepat dan menyeluruh, ia penting bagi kementerian supaya dapat merancang penyaluran kewangan yang lebih berkesan.

"Daripada input berkenaan kita lihat apa yang boleh ditambah baik, bagaimanapun ia bergantung kepada kedudukan kewangan negara pada masa itu dan keperluan semasa," katanya kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Shahar menerima penganugerahan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada majlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa di sini hari ini.

Turut menerima penganugerahan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) ialah Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Abd Aziz Mat Kiram dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Khas Sultan Pahang, Tok Aria Ratna Ahmad Norbadelin Abd Murad; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang; Zulkhairi Zainol Abidin dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid menerima penganugerahan pangkat Penolong Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).

Dalam pada itu, Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar memaklumkan balai bomba di Sungai Lembing yang sedang dalam pembinaan dijangka siap pada tahun depan. - Bernama