Kes demam denggi meningkat

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan bahawa jumlah kes demam denggi meningkat sebanyak 170 kes iaitu 12.5 peratus, daripada 1,363 kepada 1,533 kes pada minggu epidemiologi ke-38 tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, tiada sebarang kematian yang dilaporkan berlaku akibat demam denggi tersebut.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 42,084 kes berbanding 19,423 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 22,661 kes iaitu 116.7 peratus.

“Manakala sebanyak 24 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 13 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ulas Noor Hisham, jumlah lokaliti hotspot meningkat sebanyak enam lokaliti pada minggu ini dengan sejumlah 48 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 42 lokaliti pada minggu sebelumnya.

“Daripada 48 lokaliti hotspot yang dilaporkan, 28 iaitu 58.3 peratus lokaliti dilaporkan di Selangor, 15 (31.3 peratus) lokaliti di Sabah dan lima (10.4 peratus) lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut beliau, survelan chikungunya merekodkan sebanyak lapan kes pada minggu ke-38 dengan tiga kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing dua kes dari Selangor dan Pulau Pinang serta satu kes dari Kelantan.

“Jumlah kumulatif dua kes chikungunya sehingga kini adalah 646 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 1,452 sampel darah dan 15 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ulasnya.

Artikel Berkaitan: