KPDNHEP Melaka tumpaskan sindiket penyelewengan diesel

 Norena menunjukkan saluran paip yang disambung dari tangki tambahan di sebuah lori sindiket penyelewengan diesel pada Isnin. - Foto Bernama
Norena menunjukkan saluran paip yang disambung dari tangki tambahan di sebuah lori sindiket penyelewengan diesel pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menumpaskan sindiket penyelewengan diesel selepas merampas 10,000 liter diesel bernilai RM21,500 tidak termasuk subsidi kerajaan dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Krubong pada Isnin.

Pengarahnya, Norena Jaafar bagaimanapun berkata, dalam serbuan kira-kira jam 7 petang Ahad itu, dua lelaki meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang premis yang dijadikan stor haram menyimpan dan memindahkan diesel.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 18 tangki minyak tambahan yang setiap satunya berkapasiti 1,000 liter, dua motosikal, dua lori dan paip penyambung bernilai kira-kira RM135,000.

"Berdasarkan intipan dan risikan selama seminggu, modus operandi sindiket itu didapati ialah mengisi diesel di stesen minyak sekitar Melaka antara RM300 hingga RM500 menggunakan kad kredit dan aktiviti itu dilakukan secara kerap dalam seminggu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, Norena berkata, diesel itu kemudiannya akan dijual kepada pihak industri pada harga RM4 hingga RM4.30 seliter berbanding harga semasa diesel yang dibeli di stesen minyak iaitu RM2.15.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun jika sabit kesalahan bagi individu dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan pertama melibatkan pertubuhan.

"Kita memandang serius aktiviti penyeludupan atau penyelewengan diesel kerana ia melibatkan subsidi oleh kerajaan sekali gus menyebabkan kerugian besar sekiranya aktiviti ini terus berleluasa," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut atau aduan yang ingin disalurkan, boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 atau WhatsApp ke 019-279 4317 yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 6 petang. - Bernama