Jururawat rugi RM198,000 jadi mangsa Macau Scam

Seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan kerugian RM198,000 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam. - Gambar hiasan
Seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan kerugian RM198,000 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan di daerah ini kerugian RM198,000 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata,pada mulanya wanita berusia berusia 36 tahun dihubungi individu yang menyamar dari syarikat penghantaran barang.

Menurutnya, panggilan itu kemudian disambungkan kepada pegawai polis dan kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah.

"Selepas itu, suspek meminta mangsa membuat pinjaman peribadi dan diberikan satu link untuk isi maklumat mangsa.

"Setelah pinjaman peribadi diluluskan oleh pihak bank dari tempoh permohonan lebih kurang dua minggu, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari oleh mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, susulan itu, mangsa telah tampil membuat laporan polis pada Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak ketiga.

Ramli juga meminta orang ramai supaya tidak melayari sebarang aplikasi daripada link yang mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

"Jangan takut atau cemas apabila dihubungi atau didakwa terlibat dengan apa-apa jenayah oleh panggilan telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

"Adalah diingatkan bahawa pihak penguatkuasa tidak menjalankan apa-apa siasatan melalui panggilan telefon. Sentiasa semak dengan balai, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan," pesan beliau lagi.