Tambahan kuota haji: Belum ada keputusan kerajaan Arab Saudi

Jumlah jemaah dari negara ini yang bakal mengerjakan ibadah haji tahun ini masih kekal seramai 14,306 orang. - Foto Bernama (Gambar kecil: Idris)
Jumlah jemaah dari negara ini yang bakal mengerjakan ibadah haji tahun ini masih kekal seramai 14,306 orang. - Foto Bernama (Gambar kecil: Idris)
A
A
A

BALING - Kerajaan Arab Saudi masih belum memberikan keputusan mengenai rayuan tambahan kuota 5,000 jemaah yang dipohon Malaysia, untuk musim haji tahun ini.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, jumlah jemaah dari negara ini yang bakal mengerjakan ibadah haji tahun ini kekal seramai 14,306 orang.

"Setakat ini kita belum terima maklumat mengenai rayuan kuota tambahan itu...tetapi jumlah yang memohon rayuan untuk mengerjakan haji mencecah 50,000 orang.

"Memang jumlah kuota tambahan yang dipohon jauh berbeza dengan permohonan rayuan 50,000 ini, namun (jika kuota tambahan dibenarkan) ia terpulang kepada kebijaksanaan pengurusan Tabung Haji (untuk menentukan jemaah yang akan ditawarkan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Khas Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) di kampus induk UniSHAMS Kuala Ketil pada Isnin.

Pada 16 Mei lepas, dalam laporan media Idris dipetik sebagai berkata Malaysia memohon sebanyak 5,000 tambahan kuota jemaah haji daripada Kerajaan Arab Saudi, bagi musim haji tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, seramai 1,428 graduan UniSHAMS daripada 42 program pelbagai peringkat pengajian diraikan pada hari ini, selepas majlis konvokesyen pada tahun 2020 tertangguh susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Saya berbangga dengan pencapaian para graduan...kursus yang ditawarkan di UniSHAMS juga memang keperluan dalam industri contohnya kewangan dan perakaunan.

"Graduan sama ada dalam bidang syariah, bahasa Arab mahupun al-Quran, boleh menjadikan kejayaan yang mereka dapat pada hari ini sebagai asas dan nilai tambah, untuk membantu mereka meneroka bidang lain pula seperti bidang perniagaan,” katanya. - Bernama