Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Limbahau keluar KDM, umum jadi Adun Bebas

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Datuk Juil Nuatim hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan menjadi ADUN Bebas.

Juil berkata beliau kini seorang ADUN Bebas yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri dan kerajaan pimpinannya.

“Ya saya keluar (parti), kini sebagai ADUN Bebas buat masa ini, untuk sertai parti lain kita tengok dahulu mana parti yang boleh bawa pembangunan dan kemajuan di kawasan DUN Limbahau.

“Tiada juga perselisihan dengan Presiden KDM (Datuk Peter Anthony) cuma di peringkat negeri, kita mahu bawa pembangunan di kawasan kita,” katanya yang juga Timbalan Presiden KDM ketika dihubungi pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020, Juil yang ketika itu mewakili Parti Warisan memenangi kerusi DUN Limbahau dengan majoriti 2,523 undi, sebelum bertindak keluar daripada parti itu pada Disember 2021.

Susulan tindakan Juil, KDM kini hanya mempunyai kerusi DUN Melalap diwakili Peter dan kerusi Parlimen Kota Marudu diwakili Timbalan Presidennya Datuk Wetrom Bahanda.

Riduan Rubin yang merupakan Ahli KDM menang kerusi Parlimen Tenom dengan majoriti 1,108 sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS