Harapan temui Hawari selamat makin tipis

Pendaki Everest dan Penjelajah Grand Slam, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dalam program [SINAR LIVE] Everest: Andai tersalah langkah pada Rabu. - Foto Sinar Harian
Pendaki Everest dan Penjelajah Grand Slam, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dalam program [SINAR LIVE] Everest: Andai tersalah langkah pada Rabu. - Foto Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Peluang pendaki rakyat Malaysia, Muhammad Hawari Hashim yang hilang di Gunung Everest, pada Sabtu dijangkakan selamat, disifatkan tipis jika masih terperangkap antara kem 1 hingga 4 lebih daripada lima hari.

Pendaki Everest dan Penjelajah Grand Slam, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ia kerana pada ketinggian itu, tekanan udara akan menjadi semakin rendah dengan keadaan cuaca yang sejuk menyebabkan sukar untuk bernafas dan bertahan.

"Kalau Hawari hilang di base camp menuju ke bawah memang ada peluang selamat tetapi dari kem 1, 2 dan 4 mengambil masa lima atau enam hari saya tidak rasa dia boleh selamat kerana perlukan tabung oksigen bermula dari kem 3.

"Dia perlu diselamatkan secepat mungkin. Bagaimanapun saya mengharapkan keajaiban dan takdir ALLAH dia selamat," katanya dalam program [SINAR LIVE] Everest: Andai tersalah langkah pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin turut mengingatkan pendaki untuk tiba ke puncak gunung Everest seboleh-bolehnya sebelum 12 tengah hari.

Jelasnya, pendaki perlu bermula dari 8 atau 10 malam untuk mendaki, waktu yang sesuai untuk sampai dalam tempoh berkenaan.

"Ia kerana untuk tiba di puncak mengambil masa 10 jam dan turun pula lebih kurang lapan jam, keseluruhan adalah 18 jam untuk pendaki lalui dengan keadaan cuaca tidak menentu.

"Saya dulu sebelum jam 12 tengah hari kena turun, mula mendaki jam 8 atau 10 malam kerana untuk ke puncak Everest dari kem 4, ketinggiannya 884 meter dan jarak dalam satu hingga dua kilometer.

"Everest ini setiap tahun ada cabarannya dan menyebabkan kematian maka kita perlu bersedia dari segi mental," ujarnya.

Beliau turut berpendapat bahawa kelopongan dalam latihan antara sebab kejadian seperti ini berlaku.

Ujarnya, dari tahun 1997 hingga 2023 tidak pernah kejadian meragut nyawa pendaki Malaysia.

"Salah satu saya lihat dari segi persediaan, kerjasama kumpulan dan persiapan dan latihan yang kemungkinan ada kelopongan.

"Ia perlu diteliti dan dibuat siasatan mengenai perkara ini. Tetapi bukan faktor cuaca kerana apa yang lihat keadaan ketika itu baik.

"Tiada cuaca buruk atau angin kencang, ramai pendaki berjaya sampai dan turun dengan selamat," katanya.