Glazers belum sedia 'lepas' United

Penyokong United mula mendesak keluarga Glazers melepaskan kelab itu sejak beberapa musim lalu.
Penyokong United mula mendesak keluarga Glazers melepaskan kelab itu sejak beberapa musim lalu.
A
A
A

PENJUALAN Manchester United dijangka tertangguh sehingga Mei apabila keluarga Glazers berkeras mahu mendapatkan tanda harga 6 bilion pound (RM32.4 bilion) yang ditetapkan mereka.

Sebelum ini, Sheikh Jassim bin Hamad Al-Thani dan Sir Jim Ratcliffe masing-masing menawarkan maksimum 4.5 bilion pound (RM24.29 bilion) untuk membeli kelab yang berpangkalan di Old Trafford itu.

Bagaimanapun, keluarga Glazers hanya mahu menjual United pada harga RM32.4 bilion walaupun ia jauh lebih tinggi daripada penilaian dilakukan pakar kewangan.

Financial Times menilai kelab berkenaan hanya pada 1.32 bilion pound (RM7.12 bilion), namun nilainya lebih tinggi di Bursa Saham New York - 2.8 bilion pound (RM15.12 bilion).

Jika mengikut perkiraan sama ketika Chelsea dijual kepada Todd Boehly pada musim panas lalu, ia mencecah 3.55 bilion (RM19.16 bilion).

Nilai-nilai berkenaan mendorong pembida membuat tawaran lebih rendah berbanding harga ditetapkan Glazers, dengan Ratcliffe hanya menyasarkan 69 peratus saham United manakala Sheikh Jassim mahu pemilikan penuh.

Glazers juga menerima bidaan daripada Genevra Associates yang berpangkalan di Luxembourg yang mana mereka hanya mahukan saham minoriti, sekali gus mengekalkan Glazers sebagai pemilik.

Pada Isnin, United berjaya mengakhiri kemarau kejuaraan sejak tahun 2017 selepas menewaskan Newcastle United 2-0 pada final Piala Liga di Stadium Wembley.