Video tular di stesen minyak bukan kes cubaan culik

Tangkap layar video yang didakwa berlaku cubaan culik di sebuah stesen minyak di Telok Panglima Garang.
Tangkap layar video yang didakwa berlaku cubaan culik di sebuah stesen minyak di Telok Panglima Garang.
A
A
A

KUALA LANGAT - Tiada sebarang cubaan culik seperti ditularkan menerusi satu rakaman video di sebuah stesen minyak di Telok Panglima Garang di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, siasatan dijalankan berkaitan video berkenaan yang memaparkan seorang lelaki menghampiri sebuah kereta di lokasi kejadian.

"Laporan berkaitan kejadian dibuat oleh seorang wanita berumur 34 tahun mendakwa seorang lelaki berkelakuan mencurigakan telah turun dari sebuah kereta dan menuju ke pintu belakang keretanya.

"Ketika kejadian, anak mangsa berada di tempat duduk penumpang di bahagian belakang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati tiada sebarang cubaan culik seperti mana yang ditularkan di media sosial.

"Siasatan lanjut berkaitan laporan yang dibuat sedang dijalankan bagi mengesahkan kejadian sebenar yang berlaku.

"Orang ramai diminta agar tidak membuat kenyataan atau menyebarkan berita yang tidak sahih sebelum merujuk kepada pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan berita palsu.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang kenyataan atau penyebaran berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Pada Rabu, tular video berdurasi satu minit 45 saat yang dimuat naik di media sosial mendakwa kejadian culik berlaku di sebuah stesen minyak di Telok Panglima Garang.