Piala Dunia Qatar 2022 dijangka untung AS$17 bilion

Hampir satu juta orang termasuk 12,000 wakil media dijangka hadir ke Piala Dunia Qatar 2022. - Gambar hiasan
Hampir satu juta orang termasuk 12,000 wakil media dijangka hadir ke Piala Dunia Qatar 2022. - Gambar hiasan
A
A
A
KEUNTUNGAN daripada Piala Dunia di Qatar dijangka mencecah sekitar AS$17 bilion, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Piala Dunia FIFA 2022, Nasser Al Khater.

Beliau berkata, kos perbelanjaan infrastruktur dan pembinaan Piala Dunia mencecah AS$8 bilion, yang secara relatifnya hampir sama dengan kos penganjuran Piala Dunia sebelum ini.

"Ini bermakna kami akan mencapai hasil yang berganda daripada kos, dan Qatar akan memperoleh keuntungan Piala Dunia semasa dan selepas kejohanan," lapor Agensi Berita Qatar (QNA) memetik Al Khater.

Menurut beliau, jumlah pelawat yang besar akan datang ke Qatar untuk menonton perlawanan itu dan meneroka budayanya.

Beliau juga menyebut bahawa jumlah pengikut Piala Dunia dari luar Qatar akan mencecah rekod.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Tertinggi Penyampaian dan Warisan menjangkakan antara 3 dan 4 bilion orang di seluruh dunia akan menonton Piala Dunia Qatar 2022.

Al Khater turut menyatakan Qatar sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan pelancong yang besar dan juga untuk penganjuran Piala Dunia yang akan tiba beberapa minggu lagi.

Negara itu menjangkakan menyambut hampir satu juta orang, termasuk 12,000 wakil media ke Piala Dunia, lapor QNA. - Bernama

Artikel Berkaitan: