Pengasuh mengaku bersalah cuai jaga bayi - Utusan Malaysia

Pengasuh mengaku bersalah cuai jaga bayi

NURUL SYAHIRA A' SHIQIN SULAIMAN mengaku bersalah atas dua pertuduhan cuai sehingga boleh menyebabkan kecederaan terhadap dua bayi di Mahkamah Seksyen, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengasuh sebuah taska mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berlaku cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dua bayi, Mac lalu.

Tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Walau bagaimanapun mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk fakta kes dan penghakiman.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, Nurul Shahira yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan didakwa bertindak cuai dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah premis taska di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini di sini, kira-kira pukul 1 petang, Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan seksyen berkenaan, tertuduh juga boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan diarah untuk melaksanakan khidmat masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari mencadangkan supaya mahkamah memberi jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam bela tertuduh, Syufri A. Samad memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes tersebut.

“Tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, manakala suaminya yang bekerja kilang mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan. Dia turut menanggung ibu bapanya yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsa perlu diserah kepada mahkamah serta diperintahkan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya