Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
157,760 peluang kerja wujud hasil FDI 2017-2022 
Diterbitkan:  May 22, 2023 1:45 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Sebanyak 157,760 peluang pekerjaan telah diwujudkan di Malaysia hasil daripada pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan sejak 2017 hingga 2022, menurut Kementerian  Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri, Liew Chin Tong berkata daripada jumlah itu, sebanyak 133,117 atau 84.3 peratus ialah pekerja tempatan manakala selebihnya iaitu 26,643 pula merangkumi pekerja asing.

“Ia terhasil daripada sejumlah 1,392 projek pemilikan asing bernilai RM426.6 bilion,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan hasil daripada FDI sejak 2017 hingga 2022.

Mengikut pecahan, sebanyak 1,164 projek perkilangan yang melibatkan pelaburan bernilai RM329.9 bilion telah direalisasikan dan mewujudkan 150,873 peluang pekerjaan, katanya.

Beliau berkata lima industri perkilangan utama melibatkan pemilikan asing yang mewujudkan jumlah pekerjaan tertinggi adalah industri elektrik dan elektronik melibatkan 75,593 pekerjaan, barangan logam asas (14,477 pekerjaan), jentera dan kelengkapan (7,001 pekerjaan), barangan galian bukan logam (6,820 pekerjaan) dan barangan getah (5,721 pekerjaan).

LIew berkata bagi sektor perkhidmatan pula, sebanyak 228 projek dengan pelaburan bernilai RM96.7 bilion telah direalisasikan bagi 2017 hingga 2022 dan mewujudkan 6,887 peluang pekerjaan. 

Beliau berkata tiga subsektor utama yang mewujudkan jumlah pekerjaan tertinggi adalah pertubuhan global (3,197 pekerjaan), perkhidmatan sokongan (1,481 pekerjaan) dan perkhidmatan kesihatan (1,303 pekerjaan). 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Johari mengenai beberapa syarikat Malaysia yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat China dan tidak mempunyai rekod prestasi, Liew berkata projek atau MoU yang ditandatangani itu akan dipantau oleh jawatankuasa secara khusus dan juga dengan proses biasa yang telah diamalkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Bagi masa depan, sebenarnya kerajaan dipandu oleh lima kriteria dasar pelaburan nasional.

“Kriteria ini untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi, untuk menjana pelaburan bernilai tinggi dan juga pendapatan tinggi, memperluas rangkaian domestik dan juga mewujudkan kluster ekonomi baharu dan tambahan kepada yang sedia ada serta meningkatkan kerangkuman. 

“Ini adalah ‘dashboard’ (panel maklumat dan kawalan) kita untuk memantau apa yang kita terima,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS