Jamal gagal rayuan ketepi keputusan fitnah Maria Chin

Jamal
Jamal
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah yang mendapati beliau mengeluarkan kenyataan memfitnah bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Jamal, mengatakan bahawa mahkamah tertinggi itu tidak bersetuju dengan hujah peguam, V. Mugunthan bahawa kebenaran merayu didengar atas meritnya.

"Ini adalah keputusan sebulat suara, sama ada perkara ini mempunyai merit untuk hujah di Mahkamah Persekutuan. Kami (panel hakim) tidak ke arah memberikan kebenaran untuk merayu. Oleh itu, kami menolak permohonan dengan kos RM30,000," kata Tengku Maimun ketika menyampaikan keputusan itu pada Selasa secara dalam talian selepas mendengar hujahan daripada Mugunthan, yang mewakili Jamal dan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, mewakili Maria.

Hakim lain dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 8 Mac, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Jamal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bertanggungjawab memfitnah Maria, yang kini merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Jalil, Datuk Gunalan Muniandy dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bagaimanapun membenarkan rayuannya untuk mengurangkan kuantum ganti rugi sebanyak RM300,000 yang sebelum ini diberikan Mahkamah Tinggi kepada Maria, kepada RM150,000.

Ahmad Zaidi, yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata, mahkamah bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan yang diucapkan oleh Jamal akan mempunyai kesan menjatuhkan reputasi Maria di mata masyarakat dan boleh menimbulkan kebencian kepada wanita itu.

Beliau berkata, Jamal juga gagal menunjukkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab terkhilaf dalam keputusannya bahawa dua kenyataan yang diucapkan Jamal merujuk kepada Maria dan Mahkamah Rayuan mendapati tiada merit dalam rayuan Jamal mengenai liabiliti.

Artikel Berkaitan:

Maria mengambil tindakan undang-undang terhadap Jamal kerana memfitnah dengan mengaitkan beliau dan Bersih 2.0 dengan kumpulan militan Daesh.

Dalam samannya yang difailkan pada 7 Oktober 2016, beliau mendakwa Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya dan Bersih, yang disiar dan diterbitkan oleh media dalam talian, cetak dan elektronik, semasa sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 28 September 2016 dan kemudiannya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 4 Oktober 2016. - Bernama