Sokong pindaan RUU mansuh kesalahan cubaan bunuh diri

Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen diminta untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu hati dalam menyokong pindaan rang undang-undang (RUU) bagi memansuhkan kesalahan percubaan membunuh diri sebagai satu jenayah.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, setelah berjuang hampir 20 tahun, usaha pindaan itu harus direalisasikan bagi mencegah kes bunuh diri daripada terus berlaku.

Justeru, beliau meminta ahli politik tidak menjadikannya sebagai bahan politik, tetapi melihatnya daripada sudut kemanusiaan.

“Isu ini telah lama diperjuangkan oleh banyak pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan KKM (Kementerian Kesihatan). Sejak dua tahun lalu, KKM membawa isu ini dan ia dibincangkan dalam Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental.

“Semua anggota majlis menyokong cadangan untuk menghapuskan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang mensabitkan cubaan bunuh diri sebagai perbuatan jenayah dan meminta Jabatan Peguam Negara untuk mempercepatkan RUU ini ke Parlimen.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said telah menyatakan bahawa RUU ini akan dibentangkan minggu depan.

“Masalah kesihatan mental boleh dihadapi oleh mana-mana pihak, tidak kira kaum dan bangsa. Jangan politikkan isu ini dan sebaiknya semua ahli Parlimen memainkan peranan masing-masing untuk memberikan sokongan dan meluluskan RUU itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 dan RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 bagi memansuhkan kesalahan percubaan membunuh diri sebagai satu jenayah telah dibentangkan oleh Azalina untuk bacaan pertama pada 4 April lalu dan bacaan kedua akan dibuat pada sesi sidang Dewan Rakyat bermula pada Isnin.

Pindaan itu adalah salah satu usaha kerajaan untuk memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri di bawah Kanun Keseksaan, bertujuan mencegah kes tersebut daripada berlaku dan menggalakkan mereka yang terkesan tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan.

Menurut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, seseorang yang cuba membunuh diri berdepan hukuman penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Tambah Lam Thye, kerajaan perlu membantu memberikan kaunseling dan rawatan psikiatri bagi sesiapa yang menghadapi isu kesihatan mental.

“Jika tidak mendapat bantuan psikologi dan kaunseling, mereka boleh hadapi satu keadaan dimana dia rasa tidak ada jalan lain sehingga ada idea nak membunuh diri.

“Dalam keadaan ini, kita tak boleh menghukum mereka sebaliknya bantu mereka. Tindakan menghukum dengan bawa ke mahkamah dan dikenakan hukuman penjara hanya akan menjadikan mereka menghadapi lebih banyak kesengsaraan dan penderitaan,” jelasnya.