Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber: KSM tukar 2 pegawai tinggi susulan siasatan kes pekerja asing

Kementerian Sumber Manusia menukar dua pegawai tingginya ke tugas yang lain.

Sumber berkata antaranya adalah Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Asri Ab Rahman yang akan dipindah tugas dalam tempoh notifikasi 24 jam.

Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Muhd Khair Razman Mohamed Annuar juga dijangka meninggalkan jawatan itu pada hari ini.

Beberapa sumber kementerian juga mengesahkan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Norison Ramli akan menggantikan Khair bermula Isnin ini.

Pertukaran itu dibuat di bawah arahan ketua setiausaha baru kementerian itu, Zaini Ujang.

Zaini dilantik ke jawatan itu pada April lalu, di saat semakin ramai pekerja asing yang tidak ditempatkan di mana-mana pekerjaan selepas tiba di Malaysia.

Menurut sumber, Zaini dijangka akan mengambil tindakan kepada lebih ramai pegawai dalam masa terdekat.

Difahamkan siasatan dalaman dibuat berhubung kelulusan kuota pekerja asing, menurut sumber kementerian itu.

Terdahulu, timbul laporan berkenaan ratusan warga Asia Selatan di Malaysia yang mendakwa ejen telah menjanjikan peluang pekerjaan tetapi dengan bayaran yang mahal untuk mendapatkannya.

Sumber dalaman turut mendedahkan siasatan dalaman tersebut mendapati sejumlah pekerja berpangkat rendah telah tampil ke depan dan memberi nama pegawai tinggi yang memberi arahan kepada mereka berkaitan perkara tersebut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS