BRM FC terima tajaan baharu

Ghafari (kiri) bersama Mohd Fauzi (kiri) dalam majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kuala Kangsar BRM FC dengan Raudhah Islamic School di sini pada Rabu.
Ghafari (kiri) bersama Mohd Fauzi (kiri) dalam majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kuala Kangsar BRM FC dengan Raudhah Islamic School di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA Kangsar BRM FC menerima tajaan baharu dari sebuah institusi pendidikan bagi mengharungi saingan Liga M3 musim ini.

Tajaan oleh Raudhah Islamic School bagi tempoh semusim itu sekali gus menamatkan kontroversi yang tercetus sebelum ini susulan penajaan daripada sebuah syarikat rokok elektronik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Kangsar BRM FC, Ghafari Nasir berbesar hati dengan kesediaan Raudhah bekerjasama bagi membantu kelab berada di landasannya.

Menurutnya, secara tidak langsung menunjukkan institusi pendidikan turut menyokong usaha kelab tempatan bersaing merancakkan semula industri bola sepak negara.

"Suntikan semangat seperti ini amat diperlukan. Harapan kita agar tajaan ini mampu meningkatkan prestasi pasukan bola sepak kami susulan isu penajaan syarikat rokok elektronik (vape).

"Misi kita adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan berbakat yang mampu mewakili negeri dan negara," katanya dalam sidang akhbar majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kuala Kangsar BRM FC dengan Raudhah Islamic School di sini pada Rabu.

Kuala Kangsar BRM FC diwakili Ghafari manakala Raudhah Islamic School oleh Pengarah urusannya, Mohd Fauzi Bidin.

Sebelum ini, Ghafari membayangkan tidak dapat menyertai Liga M3 musim ini berikutan bakal kehilangan sumber kewangan selepas berdepan isu penajaan syarikat rokok elektronik.

Isu itu dibangkitkan portal bola sepak tempatan kerana dianggap melanggar syarat penajaan pasukan bola sepak dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Kontroversi itu tercetus selepas logo syarikat vape berkenaan terpapar pada jersi yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim sebelum ini.

Sementara itu, Mohd Fauzi optimis dengan rekod dan kredibiliti pasukan BRM FC pada musim lepas yang berjaya masuk ke peringkat separuh akhir liga.

Katanya, kesungguhan kelab itu turut dipamerkan apabila mendapatkan khidmat pemain berkaliber antaranya Nazrin Nawi, Khairul Izuan Rosli (UiTM) dan Muhammad Syazwan Tajudin (Kedah).

"Kita terpanggil selepas melihat kesungguhan perancangan jangka panjang pasukan ini yang mahu memiliki kompleks bola sepak sendiri.

"Harapan kita agar penajaan ini memberi impak dan penjenamaan positif kepada kedua dua pihak," katanya.