Piala Raja Thailand: Malaysia juara acara beregu lelaki

Antara aksi beregu sepak takraw lelaki negara pada final Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 selepas menewaskan Laos 2-1 di Bangkok, pada Ahad. - Foto Bernama
Antara aksi beregu sepak takraw lelaki negara pada final Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 selepas menewaskan Laos 2-1 di Bangkok, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD sepak takraw negara berjaya merangkul gelaran juara pada final acara beregu lelaki Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 selepas menewaskan Laos 2-1 di Bangkok, pada Ahad.

Ini merupakan satu-satunya gelaran dimenangi skuad sepak takraw pada kejohanan kali ini.

Gandingan Muhammad Noraizat Nordin, Aidil Aiman Azwawi dan pemain simpanan, Muhammad Afifuddin Mohd Razali menewaskan pasukan Laos yang dibarisi Noum Souvannalist, Laksanaxay Bounphaivanh dan pemain simpanan, Kantana Nanthisen dengan 25-24, 14-21, 21-18.

Pada set pertama, gandingan Malaysia yang mendahului permainan terpaksa terikat pada 24-24, namun Malaysia telah mendapat servis dan berjaya menoktahkan kemenangan dengan 25-24.

Pada set kedua, Malaysia ketinggalan 12-15 berikutan kesilapan pemain termasuk servis dan pukulan, walaupun Muhammad Afifuddin dimasukkan, ia gagal menggalas cabaran dan pasukan Malaysia terpaksa akur dengan 14-21.

Pada set penentuan, gandingan Muhammad Noraizat dan Aidil yang mendahului Laos 14-13 berjaya mengutip empat mata berturut-turut.

Pasukan Laos yang memasukkan Kantana gagal mengubah nasib dan Malaysia berjaya memuktamadkan permainan 21-18.

Jurulatih kebangsaan, Mohd Rashidi Nordin berkata, ‘blocking’ gandingan Muhammad Noraizat dan Aidil pada set penentuan telah menyumbang mata penting kepada Malaysia.

"Kedua-dua pasukan telah mempamerkan kekuatan seimbang pada set penentuan tetapi pada penghujung persaingan, pasukan Malaysia dapat bantuan daripada blocking. Ini telah menyumbang kepada kemenangan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 yang berakhir Ahad, Malaysia turut meraih tempat ketiga acara regu berpasukan lelaki Divisyen Perdana dan acara regu lelaki.

Selain itu, skuad sepak takraw wanita, anak didik Ahmad Mohd Zin menamatkan saingan di tempat ketiga acara beregu wanita. - Bernama