Lonjak ranking petanda positif buat Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya kini menduduki tangga ke-147 dunia susulan prestasi baik pada Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini.
Skuad Harimau Malaya kini menduduki tangga ke-147 dunia susulan prestasi baik pada Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini.
A
A
A

HARIMAU Malaya kini digelar The Biggest Climbers susulan kenaikan mendadak dalam kedudukan terbaharu ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis.

Lonjakan tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-154 ke ranking 147 dunia jelas memberikan petanda positif buat skuad Harimau Malaya menjelang kempen Piala Asia 2023.

Kenaikan mendadak ranking itu kesan daripada kejayaan anak-anak buah Kim Pan-gon yang mencatat dua kemenangan - masing-masing ke atas Turkmenistan (3-1) dan Bangladesh (4-1) ketika Kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini.

Keputusan positif dalam aksi persahabatan iaitu ketika kemenangan 4-0 ke atas Brunei dan Hong Kong 2-0 turut menjadi penyumbang kepada kenaikan ranking Harimau Malaya.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, pencapaian itu sesuatu yang membanggakan selepas kali terakhir Harimau Malaya berada dalam kelompok 150 teratas dunia pada tahun 2014.

“Kita nampak memang patut ranking skuad Harimau Malaya ini naik kerana kejayaan mereka dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini selain dua aksi persahabatan sebelum itu.

“Pemain-pemain Harimau Malaya kini boleh masuk ke padang dengan rasa bangga. Sudah tentu, ia akan menambahkan lagi keyakinan kepada mereka untuk beraksi dengan lebih baik.

“Bila mereka beraksi dengan baik dan mencatatkan kejayaan, ranking pasukan akan terus naik. Apabila ranking naik, demand (permintaan) terhadap pasukan juga akan meningkat.

“Maka, pasukan lain akan berebut untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya. Inilah yang positifnya apabila ranking Harimau Malaya naik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Selain Malaysia, tiga lagi negara yang mendapat gelaran The Biggest Climbers adalah Greece, Cuba dan Kazakhstan sepertimana yang diumumkan di laman rasmi FIFA.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, Harimau Malaya tidak harus alpa dengan ‘pencapaian segera’ itu memandangkan jejak langkah mereka sentiasa diperhati peminat dan penyokong bola sepak tempatan.

“Sebenarnya apabila ranking naik terlalu cepat pun tak bagus. Ini kerana ia akan menjadi penanda aras baharu buat skuad Harimau Malaya dan peminat pastinya mahu melihat ranking terus naik.

“Jadi saya setuju dengan hasrat Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) yang mahu melihat Harimau Malaya beraksi menentang pasukan-pasukan berkelas A dalam aksi persahabatan yang diiktiraf FIFA.

“Dengan cara itu Harimau Malaya mampu memperbaiki lagi ranking dunia jika berjaya meraih kemenangan. Semua itu tidak mustahil dengan kerja keras dan komitmen barisan kejurulatihan dan pemain,” jelasnya.