Dilema hadiri rumah terbuka
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN
SAYA ibu beranak empat. Syawal ini, banyak undangan rumah terbuka kami terima. Memang teringin meraikan undangan tapi risau sebab anak-anak masih kecil. Untuk menolak, segan pula dengan rakan yang menjemput. Sekiranya pergi juga, saya khuatir anak-anak meragam dan lasak hingga mengganggu
majlis pula.
-IBU RISAU.

JAWAPAN
Meraikan jemputan rumah terbuka adalah satu sikap yang terpuji. Ia merupakan satu penghargaan kepada tuan rumah apabila anda menerima undangan ke majlis rumah terbuka tersebut.

Saya memahami perasaan puan. Sebagai ibu, wajar puan berasa bimbang untuk menghadiri rumah terbuka kerana sebolehnya kita tidak mahu kehadiran kita menimbulkan ketidakselesaan kepada tetamu lain.

Dengan anak-anak kecil dan sedang lasak, pasti sudah terbayang akan kerenah mereka apabila bakal hadir ke sesuatu majlis.

Memang mencabar, namun puan janganlah terlalu bimbang sehingga memutuskan untuk tidak hadir ke semua jemputan.

Berikut beberapa perkara yang puan boleh pertimbangkan sekiranya ingin meraikan rumah terbuka:

a) Komitmen jangka masa pendek – Minimunkan tempoh kehadiran puan sekeluarga di setiap majlis dalam lingkungan 20-30 minit sahaja. Ini boleh membantu mengurangkan keletihan dan rasa bosan anak-anak.

b) Bawa permainan kegemaran – Bawa bersama permainan yang boleh menghiburkan anak-anak semasa majlis berlangsung. Ini boleh membantu mereka terhibur dan mengurangkan kemungkinan meragam semasa majlis.

c) Jadual tidur yang tetap – Cuba usahakan untuk mengikut jadual tidur anak dengan betul sepanjang hari tersebut. Tidur yang cukup dapat membantu anak-anak lebih tenang dan tidak mudah meragam.

d) Komunikasi terbuka dengan tuan rumah – Berterus-terang dengan tuan rumah akan keadaan anak-anak. Sebilangan mereka sangat memahami dan seronok menerima tetamu dengan hati terbuka. Puan boleh mendahulukan undangan yang lebih mesra kanak-kanak dan elakkan hadir ke rumah mereka yang kurang mesra kanak-kanak bagi mengelakkan ketidakselesaan berlaku.

e) Bersedia pulang awal – Jika anak-anak mula menunjukkan rasa bosan, penat atau gelisah, bersiap-sedialah untuk pulang lebih awal. Utamakan kesejahteraan mereka.

f) Bincang dengan suami – Pastikan suami juga turut melibatkan diri dalam mengawasi anak-anak. Penglibatan suami secara langsung dapat mengurangkan bebanan ibu.

Raikan undangan dengan hati terbuka. Kesusahan yang datang boleh dijadikan sebagai cabaran. Nikmati ruang dan masa untuk fokus kepada keseronokan berkumpul bersama keluarga dan rakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya