Memupuk dan membangun bakat serta ekosistem sukan negara memerlukan tempoh bertahun-tahun dan bukannya seperti "membakar biskut dalam ketuhar", kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Yeoh berkata demikian dalam temu bual dengan program The Breakfast Grille BFM yang dirakam pada 29 Julai, tetapi dimuat naik di YouTube saluran itu semalam.
"(Ramai orang mahu kata) dalam satu setengah tahun, saya mahu melihat anda bawa pulang pingat emas itu untuk saya di Paris, jika tidak, boleh pergi. Kita tukar kepada menteri lain.
"Sukan bukan seperti membakar biskut; 20 minit dalam ketuhar dan anda boleh lihat hasilnya. Ekosistem dan atlet mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang," kata ahli parlimen DAP itu.
Yeoh baru-baru ini dikritik berhubung prestasi Malaysia dalam Sukan Olimpik Paris 2024 yang baru berakhir. Malaysia gagal membawa pulang emas dan hanya berjaya meraih dua pingat gangsa dalam badminton.
Terdahulu, Yeoh ditanya mengenai dakwaan bahawa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim lambat melaksanakan ikrar yang dibuat dalam manifesto Madani.
Sehubungan itu, Yeoh menegaskan bahawa tidak ada manifesto Madani, kerana Pakatan Harapan dan BN bertanding sebagai entiti berbeza sebelum pilihan raya umum ke-15, dan hanya bersatu untuk bekerjasama sebagai kerajaan perpaduan selepas pilihan raya.
Yeoh seterusnya mempertahankan langkah rasionalisasi subsidi Anwar, berkata ia telah menghasilkan penjimatan kewangan yang ketara.
"Hanya dengan melakukan rasionalisasi itu, kita menjimatkan RM4 bilion. Ramai orang berfikir berapa RM4 bilion itu? Ia bukan wang yang banyak.
“RM4 bilion adalah bajet kementerian sukan untuk empat tahun.
"Jika saya boleh mempunyai simpanan RM4 bilion itu untuk empat tahun lagi, itu adalah satu langkah yang patut diambil," katanya.