Bubar UMNO: Tun M cabar Zahid dedah bukti

Tun Mahathir
Tun Mahathir
A
A
A

LANGKAWI - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaan mengatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memintanya membubarkan parti UMNO.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Ahmad Zahid hanya dedahkan bermacam-macam cerita berkaitan dengan dirinya namun tiada sebarang bukti dikemukakan.

"Apa bukti dia (Ahmad Zahid) saya kata macam itu. Dia boleh cerita macam-macam, benda yang kita bercakap perlu ditunjuk bukti (kononnya) kita bercakap macam itu," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan bersama pengusaha feri Langkawi di sini, pada malam Rabu.

Pada Selasa, Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Dr Mahathir telah meminta dirinya untuk membubarkan UMNO kerana parti itu tiada masa depan dan tidak boleh dipercayai.

Menurut Ahmad Zahid, semasa pertemuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Jun 2018, Dr Mahathir juga memintanya memaklumkan kepada semua ahli UMNO supaya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas nama Melayu.