Bantah calon DAP Jerai demi kepentingan Pakatan Harapan

Sidang media Phahrolrazi (tengah) pada Ahad.
Sidang media Phahrolrazi (tengah) pada Ahad.
A
A
A

YAN - Tindakan membantah keputusan meletakkan calon DAP bagi kerusi Parlimen Jerai bermatlamat menjaga kepentingan Pakatan Harapan (PH) dan membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10.

Itu penjelasan dari Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipecat dari Parti Amanah Negara (Amanah) pada Ahad.

Menurut Phahrolrazi yang merupakan ADUN Alor Mengkudu, beliau merasakan bahawa tidak sesuai untuk DAP bertanding di kerusi majoriti Melayu terutama di Parlimen Jerai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya membantah keputusan untuk menjaga kepentingan PH kerana saya mahu PH memenangi pilihan raya umum, supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri ke-10, ia tiada kaitan dengan saya menentang DAP," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Pejabat Amanah Jerai di Guar Chempedak di sini pada Ahad.

Menurut Phahrolrazi, tindakan meletakkan DAP di kerusi tersebut boleh menjadi peluang kepada pihak lawan yang menentang PH.

“Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) telah menunggu peluang keemasan ini untuk mengupas isu menentang DAP.

“Apabila PH memutuskan untuk memberikan kerusi Jerai kepada DAP, kita hanya memberikan peluru kepada Pas dan UMNO untuk menyerang Amanah dan PH.

Artikel Berkaitan:

“Ia akan memudahkan kerja Pas dan UMNO untuk menyerang Amanah kerana gagal melindungi kepentingan masyarakat Melayu,” katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Amanah telah memecat keahlian Phalrolrazi kerana didapati telah melanggar perlembagaan parti.