EKONOMI

GCAP AKAN KUMPUL RM112.88 JUTA BIAYA SEBAHAGIAN PROJEK JANA KUASA HIDRO MINI DI PERAK

05/04/2023 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- G Capital Bhd (GCAP) bercadang untuk melaksanakan terbitan hak boleh lepas bernilai sehingga RM112.88 juta untuk membiayai sebahagian projek loji jana kuasa hidro mini 20 megawatt di Perak.

Dalam kenyataan pada Rabu, GCAP menjelaskan ini merangkumi sehingga 1.41 bilion stok pinjaman tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCULS) berjangka lima tahun, 8.0 peratus, pada 100 peratus nilai nominalnya iaitu lapan sen setiap satu 

Syarikat sewa khas kenderaan penumpang dan sektor tenaga boleh baharu itu menambah ini berasaskan empat RCULS bagi setiap saham biasa sedia ada dalam GCAP yang dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian.

Hasil yang akan dikumpul menerusi cadangan terbitan hak itu sekurang-kurangnya sebanyak RM17.12 juta, sebaliknya sejumlah RM112.88 juta akan dikumpul di bawah paras langganan maksimum, dengan syarikat berjanji untuk membayar kupon suku tahunan berjumlah lapan peratus setahun untuk tempoh RCULS lima tahun, menurutnya.

GCAP memaklumkan sepanjang tempoh lima tahun itu, pemegang juga boleh berdagang RCULS di Bursa Malaysia, menukar kepada saham GCAP baharu dengan menyerahkan satu RCULS dengan tunai pada harga pertukaran sehingga premium 20 peratus daripada harga yang akan ditentukan kemudian , atau menunggu pilihan pertukaran bukan tunai pada akhir tempoh matang dan menikmati pulangan tetap sepanjang tempoh tersebut.

Pengarah Eksekutif, Datuk Yap Yee Ping berkata pihaknya sedang berusaha merealisasikan aspek kewangan untuk memulakan pembinaan projek kuasa hidro mini.

“Apabila mencapai tarikh operasi komersial, kami menjangkakan loji ini menjana hasil sebanyak RM653.62 juta bagi perjanjian pembelian tenaga boleh baharu selama 21 tahun yang ditandatangani dengan Tenaga Nasional Bhd.

“Kami yakin terbitan hak yang dicadangkan itu adalah menarik bagi rakan pemegang saham kami untuk mengambil bahagian dan diberi ganjaran pendapatan faedah tetap di samping menyaksikan trajektori pertumbuhan kumpulan GCAP,” katanya.

Beliau berkata walaupun GCAP mempunyai pilihan untuk penebusan RCULS, namun pihaknya ingin memberi ganjaran kepada pemegang RCULS dengan menawarkan hak pertukaran bukan tunai pada tempoh matang dan yakin pemegang saham akan menyambut baik terbitan hak yang dicadangkan ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan