Sukan Komanwel: Skuad ping pong negara layak ke suku akhir

Pemain perseorangan ping pong negara Karen Lyne membalas hantaran lawannya dari Mauritius, Nandeshwaree Jalim dalam acara Ping Pong Berkumpulan Wanita sempena Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Centre pada Sabtu. - Foto Bernama
Pemain perseorangan ping pong negara Karen Lyne membalas hantaran lawannya dari Mauritius, Nandeshwaree Jalim dalam acara Ping Pong Berkumpulan Wanita sempena Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Centre pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMASKINI] SKUAD ping pong wanita negara berjaya mengalahkan Mauritius 3-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan 3, sekali gus layak ke peringkat lapan terakhir berpasukan wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Mata pertama Malaysia diperoleh menerusi pasangan beregu Tee Ai Xin-Karen Lyne, selepas bangkit dari ketinggalan untuk mengatasi pasangan Ruqayyah Kinoo-Nandeshwaree Jalim, 9-11, 11-2, 11-5, 11-5.

Bercakap selepas perlawanan itu, Ai Xin memberitahu Bernama, mereka masih perlu mengurangkan tekanan yang dihadapi ketika permainan, jika mereka mahu menaiki podium di sini.

Pasukan Malaysia menjadikan kedudukan 2-0 selepas pemain perseorangan Alice Chang Li Sian menewaskan Oumehani Hosenally, 11-5, 11-9, 11-4, sebelum Karen yang kali ini beraksi sebagai pemain perseorangan mengesahkan tempat negara ke suku akhir, dengan mengalahkan Nandeshwaree, 13-11, 11-9, 11-6.

Malaysia memulakan cabaran mereka di Sukan Komanwel ini dengan kekalahan kepada Australia 0-3, sebelum menang ke atas Maldives, 3-0, yang kedua-dua perlawanan berlangsung pada Jumaat.

Pasukan wanita Malaysia yang menamatkan peringkat kumpulan di tempat kedua akan bertemu juara Kumpulan 2, India pada peringkat suku akhir.

Sementara itu skuad lelaki kebangsaan tewas kepada Kanada 1-3 hari ini dengan menyaksikan pasangan Jeremy Hazin-Edward Ly tewas kepada Wong Qi Shen-Choong Javen 9-11, 12-10,11-5, 11-8.

Pemain perseorangan negara Leong Chee Feng pula tewas kepada Chen Hongtao 8-10, 10-12, 8-11 sebelum Malaysia mendapat satu mata selepas Edward mengalahkan Javen 11-6, 7-11, 11-5, 11-6.

Kanada kemudiannya memastikan mereka berada di tempat teratas Kumpulan 4, selepas pemain mereka Chee Feng menewaskan Hazin 11-9, 11-5, 11-9.

Dengan keputusan itu, Malaysia menamatkan perlawanan Kumpulan 4 di tempat kedua, layak ke suku akhir yang akan berlangsung Ahad. - Bernama