Zalina Azman dipercayai masih dalam negara

Tangkap layar ketika Zalina masih menjadi pembaca berita.
Tangkap layar ketika Zalina masih menjadi pembaca berita.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang dipercayai masih berada di dalam negara.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya telah melakukan semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan mendapati tiada pergerakan ke luar negara oleh Zalina.

"Kita turut menerima beberapa maklumat berkaitan Zalina, tetapi negatif (tiada perkembangan terbaharu)," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Isnin, media melaporkan polis sedang giat mencari bekas personaliti TV3, Zalina atau nama sebenarnya, Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan hilang sejak November, tahun lalu.

Ia susulan polis menerima laporan anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, berhubung kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.

Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November tahun lalu bagi memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital.

Justeru, Mohd Iqbal berkata, pihak polis membuat hebahan berkaitan kehilangan mangsa kepada umum bagi membantu siasatan kes terbabit.

Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyiarkan gambar Zalina dan maklumat berkaitan iaitu berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan kurus dengan ketinggian 158 sentimeter.

Menerusi hebahan itu juga, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-5519 4622.