AM

PAAB SALUR RM50,000 NAIK TARAF KEMUDAHAN BEKALAN AIR DUA SEKOLAH DI REMBAU

09/02/2023 05:07 PM

REMBAU, 9 Feb (Bernama) --  Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) menerusi insiatif  program ‘PAAB School Sustainability’  menyalurkan peruntukan RM50,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Astana Raja dan SK Tun Haji Abdul Malek, di sini, bagi menaik taraf kemudahan bekalan air di sekolah berkenaan.

Ketua Pegawai Operasinya, Zulkiflee Omar, berkata menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), setiap sekolah tersebut menerima RM25,000 bagi kerja membaik pulih kemudahan air yang diljalankan dalam tempoh tiga bulan bermula Oktober lalu.

Katanya, pada tiga bulan berikutnya, PAAB mengadakan Kempen Kesedaran Air bertujuan memupuk budaya penjimatan air di peringkat sekolah kepada semua pelajar dan guru.

"Ini merupakan inisiatif syarikat untuk menaik taraf kemudahan bekalan air di sekolah terlibat bagi memastikan semua pelajar dan guru dapat menjalani sesi pembelajaran dengan lebih kondusif.

"Pemilihan dua sekolah ini berdasarkan kedudukannya yang terletak dalam jajaran Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA)  Sawah Raja Fasa 2 serta kerja pemasangan paip air dan tangki imbangan Bukit Sembilan di sekitar daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Air PAAB di SK Astana Raja, hari ini.

Turut hadir ialah Guru Besar, SK Astana Raja, Azman Ambia dan Guru Besar, SK Tun Haji Abdul Malek, Noor Affendin Ab Jani.

Beliau berkata PAAB telah memilih 10 sekolah di seluruh negara dan kini dalam siri jelajah ke seluruh semenanjung bermula di sekolah di Kelantan, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang, Melaka dan beberapa negeri lain bagi kerja-kerja pembinaan aset air.

Katanya, CSR PAAB School Sustainability berteraskan empat teras utama merangkumi kempen alam sekitar, pendidikan kesedaran air, kerja sukarelawan dan projek melibatkan komuniti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan