MFL perkenal logo baharu trofi Liga-M

MFL memperkenalkan logo baharu bagi enam trofi yang menjadi rebutan kelab dan pasukan musim ini.
MFL memperkenalkan logo baharu bagi enam trofi yang menjadi rebutan kelab dan pasukan musim ini.
A
A
A

BAHANG Liga Malaysia (Liga-M) kian dirasai apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memperkenalkan logo baharu bagi enam trofi yang menjadi rebutan kelab dan pasukan dalam saingan musim ini.

Keenam-enam logo pertandingan di bawah kelolaan MFL itu ialah Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Challenge Cup dan Piala MFL.

“Logo yang dipaparkan untuk enam pertandingan ini sebagai usaha MFL untuk menyuntik nafas baharu kepada saingan Liga-M,” ujar MFL dalam Facebook pada Selasa.

Tirai Liga-M secara rasmi dibuka menerusi sepak mula Piala Sumbangsih yang menemukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari.

Liga-M pada musim ini turut melalui satu dimensi baharu apabila ia melibatkan waktu sepak mula pada jam 5.30 atau 5.15 petang di Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak pada jam 4.30 atau 4.45 petang.

Langkah pembaharuan dilakukan MFL yang diyakini mampu memberikan dimensi baharu dalam kancah bola sepak negara.

Sepak mula yang lebih awal itu memberikan kelebihan baharu dan 'new fan base' yang boleh diakses oleh semua kelab.

Ia juga untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong serta mewujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik.