KPLB kenal pasti isu capaian internet rendah di institusi Mara

Mahdzir ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pendidik Mara 2022 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mahdzir ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pendidik Mara 2022 di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mengenal pasti beberapa institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang masih mempunyai capaian internet yang rendah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengurusan Mara akan mengambil tindakan susulan berkaitan isu capaian internet itu tidak lama lagi.

Beliau berkata, terdapat beberapa institusi yang masih berdepan dengan masalah jaringan internet rendah.

“Kalau ada 55 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Profesional Mara semua ada jaringan internet tapi ada tempat yang mempunyai jaringan internet yang rendah dan ada yang mempunyai jaringan internet tinggi.

“Jadi tempat yang mempunyai jaringan internet rendah sudah dikenal pasti, kita nak naik taraf yang itu sahaja," katanya.

Mahdzir bersama penerima anugerah pendidik pada Majlis Sambutan Hari Pendidik Mara 2022 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mahdzir bersama penerima anugerah pendidik pada Majlis Sambutan Hari Pendidik Mara 2022 di Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis sambutan Hari Pendidik Mara 2022 di ibu negara, pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Ketua Setiausaha KPLB (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Timbalan Ketua Setiausaha KPLB (Pembangunan), Mas Rizal Mohd Hilmi dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kementeriannya bercadang meningkatkan capaian internet di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menjelang pertengahan tahun hadapan.

“Perkara ini sudah dibincangkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menjayakan program tersebut,” ujarnya.