Lelaki lemas ketika tangkap ikan di Pantai Morib

Seorang mayat lelaki warga emas ditemui dipercayai lemas ketika menjaring ikan di Pantai Morib, pada Ahad.
Seorang mayat lelaki warga emas ditemui dipercayai lemas ketika menjaring ikan di Pantai Morib, pada Ahad.
A
A
A

KUALA LANGAT - Aktiviti tiga sekawan menangkap ikan di Pantai Morib di sini berakhir tragedi selepas seorang daripada mereka ditemui lemas pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit selepas menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.15 tengah hari.

Menurutnya, mangsa seorang lelaki berusia 60 tahun datang ke pantai itu bersama dua rakan dari Gombak, Selangor untuk menjaring ikan.

"Semasa kejadian, ketiga-tiga mereka telah menjaring ikan di mana paras air ketika itu kira-kira paras bahu sebelum mereka berpecah haluan.

"Setelah kira-kira dua jam, rakan mangsa telah naik ke pantai namun mangsa tidak ditemui," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ketika sedang mencari mangsa, dua rakan itu telah melihat orang ramai berkumpul yang memaklumkan terdapat orang lemas.

Katanya, dua rakan mangsa kemudian menghampiri sebelum mengesahkan mayat itu adalah rakan mereka.

"Mayat warga emas itu telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," ujarnya.

Tambahnya, pihak polis mengingatkan supaya orang ramai berwaspada dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya ketika menjalankan aktiviti air terutama di laut bagi mengelakkan daripada berlaku kejadian tidak diingini.