Agihan kerusi PN PRU15 secara bertolak ansur: Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) menyerahkan watikah lantikan Ahmad Samsuri (kiri) pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Peringkat Terengganu di Masjid Rusila malam tadi. - Foto Bernama
Muhyiddin (tengah) menyerahkan watikah lantikan Ahmad Samsuri (kiri) pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Peringkat Terengganu di Masjid Rusila malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Perikatan Nasional (PN) akan menyelesaikan agihan kerusi melibatkan parti gabungannya secara bertolak ansur dan diselesaikan secepat mungkin sebagai persediaan awal berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi membolehkan jentera parti memulakan gerak kerja lebih awal.

"Kita telah buat keputusan dalam mesyuarat PN lalu yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Kita tak nak berlengah, kita nak duduk, runding dan selesaikan pembahagian kerusi seluruh negara, Parlimen dan negeri-negeri yang akan kita hadapi pada masa hadapan (PRU15). Tak susah.

"Lebih, kurang halal. Maknanya bertolak ansur. Tapi kalau dapat diselesaikan. Jentera parti kita di peringkat bawah tahu ini Pas punya. Pas punya tak apa, bantu.

"Bersatu mesti bantu Pas menang. Di kawasan Bersatu, Pas bantu Bersatu menang dan lain lagi sebab kita sudah ada dalam satu jemaah PN," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN Terengganu di pekarangan Masjid Rusila, di sini, malam Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Badan Pimpinan Parti Bersatu (Bersatu) negeri, Datuk Razali Idris serta pemimpin utama parti komponen lain.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN bukan hanya menyasarkan kemenangan di negeri malah turut meletakkan sasaran utama untuk menang di peringkat pusat.

“Ada satu beban tugas besar nak menguruskan pilihan raya bukan saja kita mahu Terengganu menang, Kelantan menang, Kedah menang. Yang sudah menang, kekal menang.

“Tugas penting untuk menyelamatkan negara bukan untuk Terengganu, Kedah dan Kelantan sahaja. Nak menyematkan negara, nak menyelamatkan seluruh Malaysia.

“Untuk itu kita perlu bentuk kerajaan pusat, kita mahu supaya dapat menang dengan membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya.

Muhyiddin turut memberikan bayangan bahawa PN akan bertanding di semua kerusi atau sebahagian kerusi yang telah diagihkan.

“Ini kerjasama yang hebat dapat kita mematerikan, kita bertanding mungkin habis semua ataupun sebahagian kerusi-kerusi yang kita telah agihkan sesama kita.

“Ini Pas punya, ini Bersatu punya, ini Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) punya, ini Star (Parti Solidariti Tanah Airku) punya dan ini SAPP (Parti Progresif Sabah) punya. Kita bereskan seberapa cepat yang mungkin, supaya boleh mula dapat memberikan tumpuan pada setiap kerusi-kerusi yang kita tandingi,” katanya.

Untuk rekod, PN merupakan gabungan parti politik rasmi yang terdiri daripada lima parti komponen yang didaftarkan pada 7 Ogos 2020.