Cuaca buruk tak halang Maritim hantar bekalan makanan

Anggota Maritim mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk setempat sebaik tiba di jeti Pulau Tinggi pada Isnin.
Anggota Maritim mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk setempat sebaik tiba di jeti Pulau Tinggi pada Isnin.
A
A
A

MERSING - Hujan lebat dan laut bergelora nyata bukan penghalang buat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Mersing menyertai misi menghantar bekalan makanan ke Pulau Tinggi pada petang Isnin.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, misi penghantaran makanan itu dilakukan bagi membantu penduduk yang terputus hubungan berikutan cuaca buruk melanda pulau berkenaan.

"Maritim Malaysia Zon Mersing telah menyertai misi penghantaran bantuan bekalan makanan ke Pulau Tinggi, hari ini (Isnin), bagi membantu penduduk yang terputus hubungan akibat cuaca buruk.

"Untuk misi ini, bot PERKASA 44 telah digerakkan bagi menghantar 56 bungkus bekalan makanan ke pulau terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Untuk rekod, seramai 16 pegawai serta anggota daripada empat agensi melibatkan Pejabat Daerah Mersing, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mersing, telah menyertai misi penghantaran makanan berkenaan yang dilaksanakan sekitar 3 petang, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Mersing, Mohd Amirza Misnadi, dan Muhammad Zulfaiz Manhad, Balai Polis Daerah Mersing, Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, pihak wakil – wakil agensi dan penghulu mukim

Sementara itu Suhaizan berkata, pihak Maritim Malaysia Cawangan Mersing sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi menyertai misi seumpamanya pada masa hadapan demi kelangsungan hidup komuniti maritim tempatan.