Tak sempat selamatkan diri, warga emas ditemukan rentung

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran berkenaan dan berjaya mengawal keadaan pada jam 8.43 malam. - Foto Bomba
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran berkenaan dan berjaya mengawal keadaan pada jam 8.43 malam. - Foto Bomba
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang warga emas ditemukan rentung berhampiran pintu keluar kediamannya selepas tidak sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kayu di Jalan Sukun, Kampung Kanchong Darat, Banting di sini pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba Banting dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.17 malam.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah bangunan kelas C berukuran 12.29 x 15.24 meter persegi telah terbakar 80 peratus. Api berjaya dikawal pada jam 8.43 malam dan pada peringkat awal didapati tiada mangsa.

"Tetapi pada jam 9.32 malam isteri mangsa memaklumkan suaminya berada di rumah sejak petang dan setelah membuat pencarian bomba menemui mayat seorang lelaki rentung di bahagian belakang rumah berhampiran pintu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mayat lelaki berusia 66 tahun itu ditemui berhampiran sebuah pintu di bahagian belakang kediaman terbabit dan dipercayai ketika kejadian, mangsa cuba untuk menyelamatkan diri tetapi gagal.